Dec 30, 2011

Sesi berfikir & bertukar pendapat mengupas isu

:: drama king ::

by Fatimah Azahrah on Thursday, December 29, 2011 at 3:49pm
Beberapa minggu lepas, dalam satu pertemuan dengan adik-adik, salah seorang daripada mereka bertanya, "Apa pendapat abang tentang dua golongan manusia ini, yang golongan pertama ialah golongan yang suka solat berjemaah, suka baca al-Quran, suka buat amal ibadah tapi hilang sensitiviti dalam agama. Bila solat, baca Quran... tak ada apa-apa kesan bagi dia. Dan apa pendapat abang tentang golongan kedua yang jarang-jarang solat berjemaah, jarang-jarang baca al-Quran tapi bila mereka beribadah, hati mereka sangat terkesan"

Lama saya terdiam hingga muka adik tadi berubah payau sedikit. Mungkin dia bimbang saya tak menyukai soalannya. Tak. Saya cuma berfikir, dan terus berfikir. Rumitnya soalan ini.

Pertamanya, apa yang dimaksudkan dengan hilang sensitiviti dalam agama?

Adakah, dengan banyak perilaku buruk-buruk? Banyak terlibat dengan benda langha? Banyak terlibat dengan perkara melalaikan seperti mengata orang, mengumpat orang, dan mengosipkan orang? Adakah hilang sensitiviti itu kerana mengagung-angungkan hiburan yang tak sihat?

Jika maksudnya begitu, saya sekeras-keras mengiyakan. Memang selama ini, saya perhatikan ramai manusia yang begini. Dia rajin ke surau. Dia rajin membelek mushaf, tapi dia juga rajin ketawa mengekek bila mengata orang. Ironis bukan?

Dan saya pasti, sedikit sebanyak keburukan ini ada pada kita kerana kita sama sekali tak pernah sempurna. 

Saya suka mahu menegaskan dan memperingatkan diri saya sendiri khususnya, bahawa sifat solat yang sempurna ialah ia dapat menjadi satu pagar yang memisahkan diri kita daripada kelakuan keji dan juga perbuatan-perbuatan mungkar. 

Banyak solat, banyak puasa sunat, banyak baca al-Quran... tapi mungkin sahaja Allah belum terima amal mereka. Sebab jika amal itu diterima, kesannya kita boleh nampak. Paling jelas pada peribadi. Sebagai contoh, dalam bab haji. Kita sering didoakan supaya memperolehi haji yang mabrur. Tapi mabrur itu bagaimana? Adakah dengan selepas pulang ke tanah air, kita kembali kepada sikap kita yang seperti siamang itu? Bukankah tanda-tandanya ialah kita berterusan dalam kebaikan, sebagaimana kita di tanah suci dahulu.

Inilah yang dia tandanya amal yang diterima Allah- Allah melorongkan hati dan jiwa kita untuk sentiasa istiqomah dan berterusan di dalam ketaatan.

Saya juga akan mengatakan bahawa tak semestinya orang yang banyak solat sunat, banyak puasa sunat, dan banyak beramal itu sebagai baik dan orang yang kurang amal itu sebagai tak baik. Saya tak kata. 

Kerana kita berada di zaman akhir, yang banyak benar fitnah. Banyak benar tribulasi dan mehnah pada kesihatan iman kita.

Ada orang yang terselamat bukan kerana dia punya iman yang kuat pun, tapi terselamat kerana dia tak terdedah dengan angin jahiliyyah. Ada orang yang umpama lalang, meliuk-liuk dipukul jahiliyyah bukan kerana tak ada iman, tapi kerana dia tak cukup kuat sahaja. Tapi orang begini adalah lebih baik kerana dia merasai nikmat taubat. Dia juga merasai nikmat penyesalan.

Jika kita telusuri sejarah, kita lihat Fudhail bin Iyyad juga pernah punya sejarah hidup yang kelam. Dalam sebuah kisah hidupnya, dia ialah seorang samseng. Dia suka mengganggu orang di jalanan hingga para penduduk berasa takut untuk melalui jalan itu sekiranya ada Fudhail di hadapan. Sanggup mereka berpatah balik dan mencari jalan alternatif. Lihat, betapa dahulu Fudhail ini sangat tidak disukai masyarakat.

Satu hari, dalam kebiasaannya mengganggu orang, dia memanjat rumah orang. Dan pada satu rumah itu, ada seorang wanita cantik yang sedang membaca al-Quran. Isi rumah itu sedang membaca ayat ini:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ 

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk dan tunduk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik" (al-Hadid ayat 16)

Lalu merembeslah keluar air mata Fudhail Bin Iyyad. Bibirnya merintih, "Ya Allah. Telah tiba masanya. Telah tiba masanya". Lalu dia bertaubat- taubat nasuha. Taubat sungguh-sungguh hingga tiada lagi daki jahiliyyah yang merintik. Semuanya diseka, semuanya dicuci dengan amal soleh dan pembaikian diri.

Itu suatu kisah yang sangat menakjubkan. Orang yang paling buruk, Allah pusing sedikit sahaja hatinya lalu dia berubah menjadi orang yang paling baik! Allah beri dia mendengar satu ayat al-Quran sahaja, dan hatinya terus sahaja berubah paksi. Sedang kita? Setiap sebulan khatam sekali bacaan al-Quran, tapi adakah ia benar-benar meninggalkan bekas dalam hati kita? Atau adakah kita membaca al-Quran, hanya wayang sahaja? Satu sandiwara menipu untuk menimbulkan titik-titik kekaguman dalam hati orang lain- kononnya aku lebih baik dari kamu.

Saudaraku. Suka saya saya mengingatkan tentang iblis. Dahulu, dialah penghulu semua malaikat. Dahulu, dialah ketua segenap ketaatan. Dahulu, dialah makhluk yang paling soleh. Tapi kerana satu keingkaran sahaja, Allah hinakan dia. Semasa Allah memerintahkan segenap malaikat untuk tunduk hormat (sujud) kepada Nabi Adam a.s, iblis enggan. Iblis ingkar! Kerana apa? Kerana dia merasakan dirinya adalah lebik baik daripada nabi Adam. Dia diciptakan daripada api, sedang Adam diciptakan dari tanah.

Hati-hatilah. Ada dua punca utama orang menjadi takbur. Pertama, kerana ilmunya dan kedua kerana amalnya. Mungkin kerana amal dia banyak, dia jadi hilang sensitiviti. Ada orang meminta-minta, dia rasa tak terpanggil untuk membantu. Jika ada orang perlukan nasihat, dia akan mencemuh dan mengherdik orang itu dahulu. Mungkin juga jika ada orang yang meminta tolong, dia akan berdolak-dalih. 

Dan paling jelas, dia tak akan dapat menerima nasihat jika orang yang menasihatinya itu ialah orang yang lebih kebawah darjatnya berbanding dia, iaitu orang yang tak sehebat dia dalam beramal. 

Bukankah dahulu pernah berlaku satu kisah antara dua orang bani Israel. Satu orang alim, warak. Satu orang lagi fasik, bermaksiat. Ditakdirkan Allah, kedua-dua mereka ditemukan di satu jalan. Lelaki warak menarik wajahnya daripada memandang si fasik dan lelaki fasik itu menoleh ke arah lain- daripada memandang wajah si alim tadi. Tapi atas dasar apa?

Lelaki warak itu enggan memandang wajah lelaki fasik itu kerana lelaki itu terlalu banyak dosanya. Tiada langsung ketaatannya. Dan hatinya menyumpah seranah orang itu. Menyampah sungguh! Mual!

Manakala lelaki fasik dan banyak bermaksiat itu lain pula ceritanya. Dia menarik muka bukan kerana benci tapi kerana malu. Hatinya tak henti-henti mengeluh kesal, "Lelaki itu tak pernah buat maksiat. Setiap saat dia beramal soleh sedangkan aku tak pernah melakukan ketaatan"

Lalu apa Allah buat? Allah muliakan lelaki fasik ini berbanding lelaki alim tadi. Kepulan awan di langit memayungi lelaki fasik tadi. 

Inilah jawapan saya kepada adik saya itu. Secara tuntas, saya dan dia bahkan semua kita wajib berjaga-jaga. Bimbang-bimbang ada secebis takbur tertanam dan bermukim dalam jiwa hingga menjadikan kita berasa gah dan sombong hingga pada hilang sensitiviti dalam beragama.

Maka jika itu berlaku, kita sudah menjadi 'drama king'.

Tahniah.

********
Saya sebenarnya tak berpuas hati dengan jawapan bagi soalan adik ni. Walaupun dia senyum tanda puas hati, tapi saya tidak. Jadi saya harap kalian yang punya pendapat atau penerangan lanjut, silalah kongsikan di ruangan komen ya. 

Terima kasih. Moga Allah merahmati kalian dengan rahmat yang melimpah ruah.
ARIESYAIFUL RESPONSE


‎1. Menurut keterangan daripada Syarah Sahih Muslim:

“Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan.”

2. Sesungguhnya meninggalkan ibadat spt berjemaah, ibadah sunnah dsb kerna takut riya' adalah riya' yang lebih besar.

Ok, berdasarkan 2 pendapat di atas ni saya nak mula ulas pandangan saya yer. 
mari kita pecahkan hadis tersebut kepada pilihan yang boleh dibuat -
a) sedikit tapi berterusan
b)banyak tapi terputus
c) sedikit tapi terputus
d) banyak dan berterusan
maka dari pilihan-pilihan yang terdapat dalam kehidupan, kita rangkingkan yang terbaik (d) pastu (a) n (b) n last (c)...

Mengulas mengenai riya' pula: kenapa meninggalkan terus amalan ibadat tersebut adalah riya' lebih besar. Kerana kita dapat melihat ganjaran ibadah berjemaah ajer fadhilatnye 27 kali ganda solat bersendirian. Kita ambil contoh kenapa riya', dengan usaha hampir sama kan satu hari kita ditawarkan kerja dengan upah rm27 sedangkan kita memilih kerja serupa dengan upah rm1 saje. Bodoh sombong x, riya' ler tuuu kan.

Ok, perkaitannya dengan isu persoalan kamu tu plak. Kalau nak harap tunggu ikhlas baru nak mule beribadah, baru nak g masjid segala. Apakah masih ade esok buat kita? Jangan bertangguh dalam buat perkara kebaikan. Buat, didik, latih dan doa ~ hidayah itu hak Allah, apabila kita buat sesuatu bersungguh-sungguh mengharap, mendamba redhaNya. InsyaAllah dengan rahmatNya yang pengasih dan penyayang dikurniakan kita taufiq serta hidayahNya.

Mengenai kesan kepada hati pula, jika kita lihat ade orang yang aktif ke masjid, puasa sunat dan rajin beribadah segala tu namun akhlaknya masih belum elok. Kita doakan lah dia, moga Allah memperelokkan akhlaknya pula. Pada yang akhlaknya baik namun sedikit kelihatan ibadahnya, maka kita doakan agar dia semakin bertambah pula ibadahnya. Semoga kita bersama-sama mengasihi saudara kita, dengan mendoakan kebaikan baginya seperti apa kebaikan yang kita mahiu bagi kita sendiri. Semoga kita masing-masing menjadi orang beriman yang bersama bergandingan memasuki syurga tanpa hisab, kelak di akhirat sana.

No comments:

Post a Comment