Apr 16, 2012

Ceritera CInta: Nikah Muda


Salah satu faktor terbesar yang membantutkan keghairahan anak muda untuk bernikah ialah tentangan ibu bapa.

Memang benar antara halangan tersebut adalah ibu bapa sendiri, baik di pihak lelaki mahupun perempuan.

Saya memang tak nafikan ramai anak-anak muda tersekat di titik ini. Mereka lebih kenal ibu bapa mereka, jadi apabila mereka menjangkakan hasrat murni mereka untuk bernikah akan dihalang, maka awal-awal lagi niat tersebut dipadamkan.

Saya sendiri bingung hendak memulakan artikel ini dari mana. Jika tajuk di atas dilihat sebagai ‘peperangan’,maka di akhir artikel nanti pihak mana yang hendak saya menangkan? Sedangkan tujuan saya menulis artikel ini jauh sama sekali dari unsur-unsur hendak berperang ataupun menyuruh orang berperang.

Oklah, kita mulakan begini. Bab halangan ibu bapa ni, boleh dikatakan 90% anak remaja yang hendak bernikah akan mendepaninya. Nak kahwin, tak boleh. Nak kahwin, belajar dulu.Nak kahwin, muda lagi, tunggu nanti habis belajar. Nak kahwin, dah gatal sangat ke? Ini semua adalah rencah perisanya.

Berbanding 10% atau mungkin kurang, yang ketika hasrat itu diluahkan, ibu bapa terus menerima dan membantunya untuk berkahwin.

Jadi halangan ibu bapa ini sebenarnya normal saja.

Antara alasan yang biasa kita dengar adalah :

Kamu masih muda, buat apa sibuk fikir pasal kahwin. Bina kemampuan dulu, kerja, kumpul duit.
Kamu masih belajar, fokus pada belajar. Nanti bila kahwin, tanggungjawab keluarga lagi, mampu ke kamu nak terus belajar? Silap-silap gagal dalam pelajaran.
Kamu belajar pun mak ayah yang bagi duit. Kamu nak kawin, siapa nak tanggung anak bini nanti? Nak bagi dorang makan pasir?
Mak ayah ni teringin sangat nak tengok kamu berjaya dalam bidang kamu ni. Biarlah tercapai dulu hasrat mak ayah ni. Jangan dilayan bisikan jiwa yang bukan-bukan.
Banyak lagilah. Samada nadanya keras atau memujuk, isinya sama. Tidak membenarkan anaknya berkahwin di usia muda atau waktu masih belajar.

Tapi kalau kita tengok balik, alasan-alasan ibu bapa untuk menghalang itu ada benarnya. Sebab itu tajuk ini bukan mengajak untuk berperang, tapi mengajak untuk berfikir. Alasan seumpama sumber ekonomi, pelajaran dan kemampuan menunaikan tanggungjawab memang ada betulnya dalam bab ‘tak bagi kahwin’ ini.

Jadi tugas anak-anak adalah mengerti kebimbangan ibu bapa terlebih dahulu. Memahami sebelum minta difahami. Jangan cepat terpengaruh dengan sentimen dan emosi. Ramai benar anak muda bersikap demikian bila hasrat mereka ditentang, maka bagaimana nak yakinkan ibu bapa sendiri yang diri mereka sudah cukup ‘matang’ ?


PENDEKATAN

Saya lebih bersetuju dengan pendekatan berperingkat-peringkat. Satu level ke satu level. Sebelum nak melenting, gunakan pendekatan bersabar dulu. Sebelum nak melawan, gunakan pendekatan berkompromi terlebih dahulu.

Bab inilah yang ramai anak muda tak sanggup buat. Kalau dia kata ‘nak kahwin’ kat mak ayah, kemudian tiba-tiba reaksi mak ayahnya cukup tegas tidak membenarkan dia kahwin lagi, maka dunia dirasakan sudah gelap. Tiada lagi cahaya dan harapan. Justeru dirinya dikuasai emosi.

Sabar dulu. Saya ingat, cara yang sama juga dinasihatkan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam satu kuliahnya. Pujuk dulu hari ini, cakap elok-elok nak kahwin. Kalau tak bagi, diam dulu.Balik cuti semester nanti, pujuk lagi sekali. Tak bagi lagi, 2 bulan kemudian pujuk lagi. Begitulah seterusnya.

Tahukah anda apa sebenarnya antara kerisauan terbesar ibu bapa bila anak mudanya berbicara tentang kahwin? Kerisauan tersebut adalah anak mudanya itu terikut-ikut dengan trend, tidak ‘layak’ lagi untuk kahwin dan belum serius pun nak kahwin sedangkan masih sibuk belajar.

Jadi, berhikmahnya cara di atas adalah, apabila mereka tengok konsistennya anak mereka dengan hasrat untuk berkahwin, maka sedikit demi sedikit ia menghilangkan kerisauan awal ibu bapa, mencetus keyakinan dan seterusnya barulah mereka terbuka untuk mendengar bicara anda tentang nikah kahwin.

Kemudian, cuba yakinkan ibu bapa dengan kemampuan diri sendiri. Bernikah dalam usia yang muda, apatah lagi sedang belajar, bukan suatu yang mudah walaupun sudah ramai orang berjaya melakukannya.

Cuba tengok alasan-alasan ataupun hujah yang ibu bapa timbulkan, banyak menyentuh tentang kemampuan ekonomi, kemampuan belajar dan kemampuan mengurus keluarga. Kalau dalam bab ekonomi misalnya, anda perlu menyediakan ‘draf cadangan’ dari pihak anda sendiri. Hasil simpanan contohnya. Ataupun duit zakat mahupun biasiswa yang diterima. Pokoknya, buatlah perancangan teliti dan cuba kemukakan itu sebagai sokongan hasrat anda untuk berkahwin.

Kalau dalam bab cabaran belajar waktu kahwin, anda boleh bertemu dengan ramai orang yang telah berjaya melakukannya. Pokok pangkalnya mudah, kahwin bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran, dan bujang bukan semestinya sukses dalam pelajaran. Pepatah melayu menyebut ; di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau tidak mahu, malas, tidak berminat, maka kahwin ataupun tidak, tetap juga tidak berjaya dalam pelajaran.

Begitu juga dalam bab ibu bapa tidak yakin anda mampu mengemudi bahtera rumahtangga. Apa yang perlu anda buat bukan berbahas tentang keyakinan anda, sebaliknya cuba buktikan keyakinan anda dengan tindakan. Aspek pengurusan misalnya. Adakah anda seorang yang sudah pandai berdikari ataupun masih gagal membuat urusan sendiri? Aspek membuat keputusan misalnya. Adakah anda seorang yang sudah matang dalam membuat keputusan sendiri, atau masih bergantung pada ibu bapa?

Buktikan. Ibu bapa akan terus menilai anda dari masa ke semasa. Bayangkan bagaimana ibu bapa hendak yakin dengan anak muda mereka kiranya masih merengek minta belikan gadjet itu dan ini dengan duit ibu bapa?

KEUTAMAAN

Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah, hasrat untuk bernikah perlu dikembarkan dengan urgensi pernikahan ke atas diri anda sendiri. Ia akan membawa kepada pelan tindakan yang berbeza-beza.

Kalau hasrat untuk berkahwin, semua orang pun nak kahwin. Tapi keperluan untuk berkahwin tidak sama, ada orang keperluannya mendesak, ada orang tidak. Senang cerita, ada orang hukum kahwin ke atasnya sudah di tahap wajib, ada orang sunat ataupun harus.

Kalau keperluan berkahwin itu tidak mendesak, maka jalan ke arahnya juga janganlah mendesak. Sesuailah digunakan cara di atas. Mungkin mengambil masa sedikit sehingga diterima.

Tetapi katakan keperluan berkahwin itu cukup mendesak, di mana jika tidak berkahwin dia akan jatuh ke dalam zina ataupun maksiat, maka jalan ke arahnya mestilah lebih tegas dan nekad. Dalam keadaan tersebut, bagi anak lelaki, restu ataupun kebenaran ibu bapa tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pernikahan. Syaratnya, ada kemampuan.

Jadi kena lihat pada diri masing-masing. Mengutamakan diri sendiri bukan bermakna untuk kejar keseronokan, tetapi untuk menyelamatkan agama dan iman. Jangan sampai anda lebih selesa berkampung dalam maksiat, berbanding berjuang bagi mencapai taat.

Ada juga sesetengah anak muda, keadaannya tidaklah sampai ke tahap wajib kahwin. Tetapi boleh dikatakan jiwanya terlalu hebat meronta-ronta untuk berkahwin. Sehingga pelajarannya terganggu, fokus pada matlamat hidupnya juga melemah. Saban waktu fikirannya terganggu dengan keinginan untuk berumahtangga.

Saya ada beberapa cerita menarik untuk dikongsikan tentang bagaimana sejumlah besar anak muda berjaya mengatasi keadaan tersebut dengan berkahwin.

Ternyata, kalau hendak melayan hujah dan sudut pandang ‘kahwin ke tidak’, nescaya mereka tidak akan berada di tempat mereka sekarang. Ada yang sudah mempunyai cahaya mata. Ada yang sudah berpuluh tahun berumahtangga dan kini menjawat jawatan selesa. Ada yang siap buka ‘cawangan kedua’ dan sebagainya.

Cerita mereka memang menarik, kerana jika diletakkan diri kita di tempat mereka, kita akan dapati bahawa bukan calang-calang anak muda yang setabah itu untuk menjayakannya.

Tetapi mereka berjaya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment