Jun 7, 2013

4 Tahun 4 Bulan : semoga kita bersama mengambil peringatan.

  • Sebuah kisah menyentuh hati, tetapkan matlamat hidup kita & keluarga kita pada apa yang sepatutnya agar tidak menyesal di kemudian hari. Terutama buat pasangan-pasangan yang masing-masing berkerjaya. Semoga kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran & kesabaran, agar perkongsian-perkongsian kita membawa manfaat yang akan mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana di akhir kehidupan kita sudah pasti akan bertemu kembali dengan Rabb Ilahi.


    Kisah ini dipetik dari laman web Prof Kamil Ibrahim, tulisan roza roslan & boleh dibaca di link sperti berikut:


    http://www.muhdkamil.org/pensyarah_tamu/roza_roslan


    4 Tahun 4 Bulan

    13 Rejab 1434

     Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.

    (Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

    Surah al-Insan, ayat 2 dan 3.

    Alhamdulillahirabilalamin! Terima kasih Allah. 
    Allah.. Allah ya Allah. Itulah ucapan yang keluar dari bibir hampir setiap pagi apabila membuka mata. Kami masih berada di rumah kecil berhadapan Jabal Uhod. Bernafas di bumi Allah, berpijak di bumi anbia’. Dalam berjuta umat Islam yang impikan tinggal di bumi Rasullah SAW, kami sekeluarga berada di sini. 
    Allahu Akbar. Di sini kami berpeluang mengenali banyak wajah. Kami memerhatikan pelbagai tingkahlaku dan gelagat manusia yang digambarkan di dalam quran. Sungguh benar, barangkali ketika bersembahyang di dalam masjid al-Nabawi – tiada siapa yang peduli – darjat, pangkat, keturunan malah berapa banyak harta yang kita miliki. Siapa sahaja mampu bersembahyang di saf yang sama. Apa yang membezakan mereka di sisi Allah adalah yang lebih taqwanya. 
    Di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 Allah berfirman;
     Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

    Malahan Allah berpesan, agar tidak berlaku sombong sesama manusia melalui surah al-Israa’ ayat 37 firman Allah bermaksud;
    Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

    Namun, manusia sifatnya suka bermegah-megah dengan pencapaian diri, kejayaan anak-anak, harta benda, pangkat darjat dan kuasa yang dimiliki. Walaupun hanya baru berkenalan, mereka sudah mahu memperagakan ciri-ciri kelebihan yang dimiliki.
    Ini kad perniagaan saya. Alamat dan nombor telefon ada tercatat di belakang.

    Biasanya kami tidak mahu melihat latar belakang apabila menerima tetamu Allah di rumah kecil kami. Bimbang terasa kekok jika tidak berbahasa – barangkali mereka bergelar Tan Sri, Datuk, Professor, Tengku atau Tuanku. Biar kami melayani mereka secara sama rata, dengan izin Allah kerana Allah.
    Biar mereka menerima kami seadanya. Rumah kecil kami di Jabal Uhod tiada berkerusi meja. Tiada apa-apa. Jadi, setiap kali mempersilakan tetamu Allah masuk ke rumah – secara berseloroh kami mempelawa;
    Haji dan Hajjah. Jemput masuk. Silalah bersila.

    Di rumah kecil kami, hidangan disediakan di dalam dulang besar. Ada yang  menyeduknya ke dalam pinggan pelastik masing-masing dan ada yang makan di dalam dulang beramai-ramai. 
    Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar! Setelah tetamu pulang ada yang memaklumkan tentang tetamu yang berkunjung ke rumah kami. Barulah kami mengetahui latar belakang mereka. Dalam diam hati berbisik-bisik perlahan; 
    Mohon maaf – Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Datin, Professor, Dr, Tuanku dan Tengku –  jika kami tidak melayani seperti yang sepatutnya.

    Allahu Akbar!
    Salah seorang tetamu Allah yang pernah mengunjungi rumah kami menghubungi melalui e-mail. Beliau membahasakan dirinya sebagai kak Engku. Rupa-rupanya beliau salah seorang kerabat di raja. Bekas isteri pembesar. Namun dalam bahasa merendah diri beliau menulis panjang; 
    Kak engku suka melihat puan – suami isteri – melayani tetamu. Terasa sayu apabila melihat bagaimana seorang tua sanggup datang walau bertongkat. Bertambah sayu melihat tuan puan melayani mereka.

    Allahu Akbar! Kak Engku pernah berpeluang melayani tetamu ketika suami bertugas di keduataan di luar negara.  Namun tetamu kita berbeza perawakannya.

    Sungguh benar. Tetamu kami jemputan Allah. Mereka datang beribu batu, bertahun-tahun mengumpul wang dan tidak jemu-jemu memohon agar dijemput Allah ke Tanah Suci menunaikan haji atau umrah. Terpancar kebahagiaan apabila diterima menjadi tetamuNya. Kebanyakannya, tutur kata luhur dari hati yang ikhlas. 
    Mereka sudah bersedia untuk berubah menjadi orang baru yang diredhai Allah. Mereka mahukan haji yang mabrur dan umrah yang diterima oleh Allah. 
    Dalam setahun hanya beberapa bulan sahaja kak Engku dapat menemani suami di Luar Negara, menghabiskan cuti tahunan dan dicampur cuti tanpa gaji.

    Katanya, beliau sayang melepaskan jawatan tinggi, kuasa serta gaji lumayan. Beliau salah seorang pengarah di dalam sebuah syarikat yang besar. Beliau menolak setiap kali suami merayu agar beliau tinggal lama bersamanya. Alasannya anak-anak masih bersekolah. Apabila anak-anak mulai membesar dan memasuki universiti, suami berusaha mendapatkan universiti di negara tempat beliau bertugas. Mereka berjaya mendapatnya. 
    Beberapa kali suami memujuknya agar berhenti kerja untuk tinggal bersama di Luar Negara. Mereka mahukan kehidupan berkeluarga. Mereka mahukan seorang ibu yang menguruskan keperluan mereka. Kak Engku masih menolak walaupun beliau berseorangan di Malaysia. 
    Allahu Akbar! 
    Kak Engku mencipta alasan lain. Hakikatnya, beliau bimbang melepaskan jawatan yang disandang. Takut-takut kebosanan menjadi suri sepenuh masa. Juga, bimbang suami akan mempersia-siakannya. Akhirnya, anak-anak berjaya menamatkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan yang baik. Ada pula berumahtangga. Suami pula di arah berpindah tempat bertugas di negara lain. Kak Engku menulis lagi, 
    Kerasnya hati ini. Langsung tiada simpati kepada anak dan suami. Bagi kak Engku, kerjaya harus diletakkan nombor satu.

    Kuasa Allah, ketika kegawatan ekonomi memuncak, syarikat mereka terjejas teruk. Syarikat terpaksa menghentikan ramai pekerja. Malahan ada pengarah menarik diri secara sukarela. Akhirnya yang tinggal beberapa kerat. Mereka inilah yang berhempas pulas memulihkan kembali kestabilan syarikat. Kak Engku salah seorang yang terpaksa berkerja berlipat kali ganda usahanya. 
    Tekanan ekonomi dan tekanan perasaan sangat hebat. Bertimpa-timpa melanda. Kak Engku tiada berpeluang bersuka-suka apatah lagi untuk mengambil cuti menemani suami. Kak Engku sedar mereka merasa hampa. Kecewa dengan sikap kak Engku yang mementingkan diri sendiri.

    Apabila mencecah usia pertengahan 50an, suami memujuk lagi. Kali ini, kak Engku termasuk hati dengan ucapan yang dilafazkan oleh suami. Masih tengiang-tengiang kata dihujung telefon, 
    Apa yang you mahukan dengan harta benda dan wang yang melimpah ruah? Kita semakin tua – anak-anak sudah berkeluarga – mereka semakin tidak memerlukan kita. Lagi pun, hidup kita semakin singkat. Kita sudah hampir mati. Pangkat, kuasa, hartabenda dan wang ringgit tidak di bawa ke kubur.

    Kak Engku terduduk. Ia benar-benar menusuk jantung. Diam-diam beliau bermuhasabah diri. Mengenangkan betapa banyak masa yang telah dipersia. Akhirnya beliau mengambil keputusan bercuti untuk bersama suami. Beliau nekad. Syarikat yang digalas selama ini sudah tidak menjadi isu penting lagi. 
    Kak Engku mengambil cuti mengikut suami selama setahun. Beliau tidak tahan berdiam diri lalu tahun berikutnya beliau belajar secara sambilan. Beliau memohon cuti belajar. Begitulah. Kak Engku menulis lagi, 
    Empat tahun bersama keluarga merupakan tempoh yang sangat hebat dan bahagia yang pernah dirasainya. Anak-anak menziarahi mereka dan suami kelihatan sangat gembira. Di hujung minggu, kami berjalan menghirup udara pagi sambil berpimpinan tangan.

    Kak Engku dan suami pulang ke Malaysia apabila suami tamat tempoh perkhidmatan wajib. Beliau pula kembali bertugas. Selama tiga bulan hatinya mula meronta-ronta mahu berhenti kerja. Beliau terasa sudah berusia dan mahu beramal ibadat bersama suaminya. Suaminya menyatakan,
                 Bersara sahajalah. Mari kita menunaikan haji.
     Sungguh, ibadat itu sahaja yang belum ditunaikan lagi. Suaminya telah beberapa kali mengerjakan umrah bersama anak-anak dan sekali menunaikan haji tanpa kak Engku. Kali ini beliau sudah bersedia. Lalu ia diterjemah dengan mendaftar dengan salah sebuah syarikat swasta.
    Kemudian, kak Engku melihat suaminya berubah tingkah laku. Beliau lebih banyak beriktikaf di masjid.  Suatu hari – setelah pulang dari  masjid – suami berpesan kepadanya,
    Kata ustaz, kita dan zuriat keturunan beriman, Insya Allah dapat bertemu semula di syurga dengan rahmatNya. Zaman muda sudah berlalu – marilah kita bertaubat dan beramal ibadat kerana Allah. Allah maha pengasih lagi penyayang – Dia mengampunkan dosa-dosa hamba yang memohon keampunan dariNya.

    Tidak mahukah kita bertemu kembali di syurga?

    Pesan kepada anak-anak agar tidak meninggalkan sembahyang. Jangan syirik kepada Allah. Pangkat, darjat, bangsa keturunan dan harta benda tidak menjamin masuk syurga. Pesan kepada anak perempuan agar aurat sentiasa dijaga dengan sempurna. Maafkan saya kerana selama ini tidak bertegas sebagai ayah dan suami.

    Tidak mahukah kita bertemu kembali di syurga?

    Kata kak Engku,
    Saya gelihati melihat tingkahlaku suami berlagak seperti ustaz. Saya tidak menghiraukannya dan membiarkan beliau sendirian di sofa.

    Keesokan harinya, beliau menunggu suami pulang dari masjid untuk bersarapan. Namun suaminya tidak muncul-muncul. Telefon tangan suami yang dihubungi berdering di sofa. Lebih teruk lagi kak Engku tidak mengetahui di manakah masjid yang sering dikunjungi oleh suaminya selama ini.
    Allahu Akbar!
    Pada siapa mahu mengadu? Di manakah kariah masjid yang sama-sama bersembahyang dengan suaminya? Puas beliau menelefon kaum kerabat dan sahabat handai namun tiada yang tahu. Ada yang mencadangkan agar beliau membuat laporan polis.
    Pada ketika itu beliau benar-benar terasa kehilangan suaminya. Jika semalam kak Engku tertawa tetapi kini beliau terasa seluruh alam mentertawakannya.  Lalu beliau terfikir – sedangkan di dunia beliau tidak tahu di mana suaminya – inikan pula di padang mahsyar!
    Dapatkah kami bertemu kembali di syurga? Layakkah isteri sebegini bertemu suaminya di syurga? Apakah daku menepati ciri-ciri wanita untuk memasuki syurga?

    Ketika ini jugalah Allah memberi ilham. Pesan suami agar solat sunat dua rakaat dan tunduk sujud mengadu kepada Allah jika menghadapi sebarang masalah menerpa minda. Sungguh benar, tiada sesiapa yang dapat membantunya selain Allah!
    Ia kisah bernokhtah. Ketika hampir zohor, sebuah kenderaan polis muncul di perkarangan rumah kak Engku. Benar, apa yang dikhuatiri dan fikirkannya menjadi kenyataan. Suaminya pergi buat selamanya. Jenazahnya dijumpai telah meninggal dunia di parkir kereta. Bersamanyaa empat keping roti canai dan dua bungkus teh tarik.
    Allahu Akbar!
    Rumah besar, hartabenda, pangkat, kuasa dan limpahan wang ringgit tidak dapat mengembalikan suaminya yang terlalu baik hati. Suami yang sentiasa berpesan-pesan mengajak isteri dan anak-anak ke arah kebaikan. Suami yang berdoa mahu bertemu isteri dan zuriat keturunannya di syurga.
    Kak Engku mengakhiri kisahnya dengan menyatakan,
    Anak-anak dan seluruh keluarga mempersalahkan saya kerana membiarkan suami sendirian. Selama ini memang mereka tidak berpuas hati kerana sikap saya yang tidak mahu menemani suami. Saya seorang isteri dan ibu yang gagal di mata mereka.

    Kini beliau sendirian. Namun, biarlah di akhir hayatnya beliau mahu menghabiskan usia tuanya dengan menghampiri kepada Allah SWT. Dia yang Maha Pengampun. Benar, beliau merindui suaminya dan terkenangkan 4 tahun 4 bulan terakhir ketika saat-saat bahagia bersamanya. Beliau mahu bertemu kembali suami di syurga.
    Masa yang berlalu telahpun berlalu. Terlalu banyak yang telah dipersiakan. Hari ini, beliau mahu mengutip sisa-sisa yang ada dengan tunduk sujud kepada Tuhan. Berseorangan.
    Lalu, nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

No comments:

Post a Comment